Pengerusinya, Razman Hakim Abdullah berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan terhadap projek yang didakwa tidak telus.

Menurutnya, jawatankuasa persatuan penduduk sebulat suara mahu siasatan terpe­rinci dijalankan selepas rundingan demi run­dingan tidak menyebelahi pihaknya.

Katanya, terdapat beberapa justifikasi yang meragukan antaranya pelan asal pada 2014 meluluskan pembangunan taman rekreasi namun diganti dengan projek lain tanpa ada pendengaran awam dibuat mahupun perbincangan antara penduduk dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Persoalan timbul apabila dalam tempoh lima bulan ia diganti dengan sebuah projek mega bagi membina pusat konvensyen bernilai RM27 juta.

“Bagaimana sesebuah projek besar seumpamanya boleh melepasi semua proses kelulusan dengan mudah? Baik di peringkat exco, pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib mendakwa tidak me­ n­getahui apa-apa berhubung projek dalam kawasannya itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penduduk Taman Melawati Zon A, B dan C di sini.

Menurut Razman Hakim, resolusi bagi membawa aduan pe­nyiasatan secara rasmi kepada SPRM itu akan diserahkan akhir minggu ini termasuk membawa beberapa dokumen, gambar dan surat-menyurat sepanjang run­dingan antara penduduk dengan pihak terlibat.

Katanya, pelaksanaan projek yang bakal diadakan majlis pecah tanah pada Disember ini mengundang pelbagai bantahan terutama janji untuk mengekalkan kawasan hijau dengan taman rekreasi gagal ditunaikan.

“Diharap siasatan lanjut kelak dapat dilakukan secara menyeluruh melibatkan semua pihak termasuk kerajaan negeri, PBT serta pemaju secara adil bagi ke-sejahteraan penduduk.

“Terdapat 1,180 unit rumah dalam kejiranan ini yang akan terkesan secara langsung jika projek tersebut diteruskan

“Hampir 75 peratus penduduk di sini merupakan warga emas yang mahu cadangan membina taman rekreasi itu dapat direa­lisasikan ,” ujarnya.