Pengerusi Persatuan Keselamatan Pencegahan Jenayah Taman Melawati E hingga P, Azhari Abd. Taharim berkata, pihaknya tidak menolak pembangunan namun, perlu ada perancangan terperinci agar tidak menyusahkan penduduk kelak.

Beliau berkata, pembinaan pusat konvensyen itu akan menambah kesesakan lalu lintas yang sedia ada selain tanah di situ memang diperuntukan untuk kawasan hijau.

“Kemudahan tersebut bukan-nya keperluan utama kami jadi kenapa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bersungguh-su­ngguh untuk meneruskan pembinaannya. Ba­nyak lagi isu yang perlu diselesaikan seperti ke-sesakan lalu lintas.

“Saya percaya jika pihak ber­wajib merasai sendiri keperitan hidup penduduk yang perlu ber­hadapan dengan kesesakan setiap hari pasti mereka membatalkan hasrat ini,’ katanya memberi maklum balas mengenai keputusan MPAJ untuk meneruskan projek tersebut walaupun mendapat bantahan penduduk setempat.

Terdahulu satu sesi pertemuan antara penduduk dan MPAJ diadakan bagi membincangkan isu tersebut. MPAJ diwakili Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain.

Tambah Azhari, penduduk amat kecewa jika projek tersebut diteruskan sekali gus membuktikan pandangan masyarakat tidak diendahkan.

Sementara itu, Abdul Hamid Hussain berkata, buat masa ini pihaknya tidak mempunyai pe­rancangan untuk membatalkan projek ber­kenaan kerana dilihat memberi manfaat kepada penduduk.

“Projek bernilai RM25 juta itu tetap diteruskan. Penduduk tidak perlu risau ke­rana hanya 50 peratus kawasan digunakan dan selebihnya masih lagi untuk kawasan hijau.

“Bagaimanapun, sekiranya ke­rajaan negeri mempunyai pandangan yang berbeza mungkin akan ada perubahan memandang­kan keputusan terletak kepada Menteri Besar dan pentadbiran,” katanya.