Ini kerana ia didak­wa mengundang pel­bagai masalah kepada me­reka sejak perumahan bertingkat itu di­sewakan kepada warga asing sejak dua tahun lalu.

Selain isu kebersihan, kebanjiran warga asing itu turut didakwa penyebab kepada masalah jenayah seperti pergaduhan, samun dan pecah rumah.

Mereka berlagak lebih daripada rakyat tempatan apabila turut bebas membuka perniagaan sendiri seperti kedai runcit dan restoran.

Tinjauan Utusan Malaysia ke pangsapuri 12 blok itu semalam mendapati, aduan penduduk berasas apabila persekitaran di situ tidak ubah seperti pe­nempatan warga asing.

Kelibat mereka yang terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Filipina boleh dilihat di mana-mana.

Berdasarkan pemerhatian terdapat lebih 20 kedai runcit dan restoran di kawasan perumahan di situ diuruskan warga asing.

Utusan Malaysia difahamkan kesemua unit kediaman di situ disewa oleh rakyat tempatan kepada warga asing dengan kadar berganda berbanding sewa asal.

Seorang penduduk, Azmi Sulaiman berkata, tindakan berani mereka membuka perniagaan menimbulkan tanda tanya apakah perkara itu dalam pengetahuan pihak berkuasa tempatan atau sebaliknya.

Menurutnya, penduduk berasa seperti tinggal di tempat asing apabila hampir 60 peratus operasi perniagaan di kuasai warga asing.

“Lebih menimbulkan persoalan, bagaimana mereka boleh membuka pasar pagi dan pasar karat pada sebelah malam di kawasan perumahan itu.

“Tindakan sewajarnya perlu diambil pihak berkuasa ter­utama Jabatan Imigresen dalam menangani isu ini.

“Sampai bila penduduk tempatan mahu hidup dalam kea­daan tidak selesa dan tidak selemat,” katanya.

Dalam masa sama, penduduk turut membangkitkan tindakan Badan Pengurusan Bersama (JMB) perumahan itu yang mengenakan caj sewa petak parkir kepada penduduk dan penyewa.

Pemilik bengkel Ng Mun Khoon berkata, bermula awal tahun ini caj yang dikenakan adalah sebanyak RM30 kepada pemilik rumah dan RM50 untuk penyewa.

“Kami merayu pihak JMB mempertimbangkan semula tindakan mengenakan caj parkir di kawasan perumahan ini ke­rana ia amat membebankan,” ujarnya.