Menterinya, Zuraida Ka­ma­ruddin berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbang dan mengambil kira masalah penyelenggaraan yang berlarutan sejak lima tahun lalu ekoran beberapa isu melibatkan kontraktor dengan persatuan penduduk.

Katanya, perancangan tersebut akan dilaksanakan segera selepas pengumuman Dasar Perumahan Negara pada bulan depan memandangkan intipa­tinya menyentuh beberapa aspek penting dalam rangka pembangunan PPR seluruh negara.

“Keadaan perumahan kos rendah tersebut sudah terlalu uzur walaupun baharu berusia 18 tahun. Ini menjadikannya projek paling utama sekali gus mendahului senarai perkara berbangkit yang memerlukan perhatian serius kementerian.

“Langkah drastik ini diambil melalui pembentukan jawatankuasa bertindak melibatkan penduduk dan beberapa lagi pihak bagi menggerakkan usaha sama ada meroboh, membina semula atau melaksanakan kaedah lain,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk PPR Lembah Subang 1 dalam lawatan turun padang ke kawasan perumahan itu.

Menurut Zuraida, jawatan­kuasa yang dibentuk akan dikendalikan oleh Ahli Dewan Unda­ngan Negeri Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha bagi memantau projek pembangunan semula melibatkan 3,004 unit.

Katanya, pada masa ini kementerian melaksanakan pro­­gram jangka pendek bagi me­nangani permasalahan penduduk PPR itu termasuk membaiki lif, pe­ngurusan air dan sampah serta keselamatan.