Robot ciptaan kumpulan The Green Amazing dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, Bangsar, Kuala Lumpur itu berjaya mengalahkan peserta dari 49 negara lain dalam kategori Terbuka Sekolah Rendah.

Ketua pasukan The Green Amazing, Loh Huey Xin, 11, berkata, robot yang direka oleh kumpulannya yang dinamakan The Green Amazing itu mengambil masa sembilan bulan untuk disiapkan dengan kos perbelanjaan kurang daripada RM1,000.

“Robot ini berfungsi untuk menanam rumput gandum bagi haiwan ternakan seperti lembu dan kambing. Robot ini menitikberatkan aspek persekitaran, sosial dan juga ekonomi ketika berfungsi.

“Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sokongan kepada kami untuk menyiapkan robot ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini baru-baru ini.

Menurut Huey Xin, kumpulan The Green Amazing yang dibim­bing oleh gurunya, Jane Ng Ai Vern itu turut diwakili oleh Chloe Mak Yu Ying, 10 dan Tan Ji Tao, 11.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad berkata, selain emas, Malaysia juga berjaya membawa pulang dua pingat perak melalui pasukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua, Miri, Sarawak.

“Pingat perak kontinjen Malaysia diraih menerusi kategori Regular Menengah Bawah dan Regular Menengah Atas. Kejayaan merangkul satu emas dan dua perak itu membolehkan Malaysia dinobatkan sebagai naib juara keseluruhan.

“Kejayaan ini cukup bermakna buat negara selepas para peserta mempamerkan kemahiran yang luar biasa dalam rekaan masing-masing. Kejayaan ini juga hasil sokongan dan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, swasta dan juga ibu bapa,” katanya.

Selain itu katanya, kejayaan berkenaan juga mencerminkan komitmen kementerian dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) de­ngan kerjasama erat pihak swasta untuk melahirkan generasi yang mampu bersaing di peringkat global.

“Semua robot yang dipertan­dingkan pada tahun ini direka khusus mengikut tema ‘robot untuk kelestarian’. Robot yang dibina perlu berkonsepkan untuk menjaga bumi dan membuat perubahan positif sambil menitikberatkan kepada persekitaran,” katanya.