Usaha itu tidak mudah dan tidak juga sukar kerana selepas tewas pada pilihan raya umum 2013, UMNO dan BN Subang dike­tuai Datuk Zein Isma Ismail sudah bergerak lebih awal mendekati setiap pengundi sehingga keha-diran dan penerimaan rakyat terhadap BN dilihat semakin ketara.

Atas sambutan positif itu, keyakinan BN untuk merampas semula kerusi Paya Jaras selepas terlepas kepada calon Pas, Mohd. Khairuddin Othman pada 2013 amat tinggi kerana sedar, kemenangan di kerusi tersebut yang bersebelahan Shah Alam penting dalam usaha merampas Selangor.

Lebih-lebih lagi senario politik sudah berubah kerana meskipun pada 2013, Mohd. Khairuddin menang dengan 5,522 majoriti undi mengalahkan penyandang sebelumnya, Datuk Ir. Muhammad Bushro Mat Johar, tetapi kini, gabungan pembangkang PKR di Paya Jaras dalam bercelaru.

Bagi Zein Isma, yang diberikan mandat untuk bertanding dan merampas semula kerusi tersebut berkata, beliau yakin kemenangan akan berpihak kepada BN kerana segala persiapan, program turun padang, mendampingi rakyat serta membentuk kebersamaan sudah lama dilaksanakannya.

Katanya, beliau yakin kerja buat pemimpin UMNO dan BN yang tidak bermusim, tidak mengamalkan diskriminasi parti serta sudah dijayakan sejak bertahun akan dinilai secara matang kerana pengundi di Paya Jaras sudah muak dengan sikap wakil rakyat seperti Mohd. Khairuddin.

“Saya mempunyai keyakinan yang cukup tinggi bahawa BN mampu merampas semula kerusi Paya Jaras ini setelah kecundang pada 2013. PRU-14 ini suasana sudah berbeza, sokongan rakyat kepada parti bertanding juga dilihat jauh berbeza dan berdasarkan penilian ini kita menang.

“Rakyat juga setiap kali saya turun padang melahirkan kekecewaan terdapat prestasi Mohd. Khairuddin sebagai wakil rakyat kerana tidak banyak yang dilakukan untuk memperkasakan Paya Jaras,” ujarnya.