Baru-baru ini Majlis Belia Daerah Klang dan Persatuan Belia Kampung Jalan Kebun menganjurkan Pertandingan Memancing Haruan pada se­belah malam bagi menambahkan cabaran sukan yang berbentuk hobi dalam kalangan kaum Adam tersebut.

Menurut Presiden Majlis Belia Daerah Klang yang juga anak jati Kampung Jalan Kebun, Shahrizal Md. Sari, pertandingan meman­cing parit besar yang terdapat di kampung tersebut mendapat sambutan hangat dalam kalangan masyarakat tempatan memandangkan aktiviti tersebut merupakan riadah yang sihat dan tidak mengeluarkan kos tinggi.

“Kita mempunyai ramai pemancing yang berpengalaman memancing di dalam parit besar yang terdapat di sepanjang Kampung Jalan Kebun ini.

“Malam ini kita kumpulkan mereka untuk bersaing bagi membuktikan siapa yang layak digelar raja pancing parit besar di kampung ini,”katanya kepada Utusan Malaysia selepas pertandingan tersebut berakhir di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Ketua Kampung Jalan Kebun, Buang Basir.

Menurut Shahrizal, golongan tua turut sama-sama memeriahkan pertandingan tersebut walaupun sekadar menjadi penonton dan penasihat semata-mata.

Katanya, pemenang menerima hadiah piala pusingan, wang tunai, hamper selain membawa pulang peralatan pancing yang bernilai ratusan ringgit.

“Pemenang akan dikira berdasarkan berat ikan yang ditangkap oleh setiap peserta. Faktor nasib memainkan peranan memandangkan peserta meman­cing di dalam gelap dan tidak dapat melihat secara terus ke dasar parit besar kerana hanya dibenarkan memasang lampu suluh di kepala semata-mata,” jelasnya.

Sementara itu Buang berkata, pertandingan tersebut diadakan dengan semangat untuk memeriahkan kampung dengan acara yang penuh nostalgia, sambil peserta seramai hampir 50 orang tersebut beradu kemahiran ma­sing-­masing menunggu ikan memagut umpan yang dipasang.