Mangsa, P. Serojah 47, yang bekerja di sebuah kilang di kawasan industri itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan bahagian badan yang lain.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisoner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6.20 pagi ini ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Bandar Botanik menuju ke tempat kerjanya sebelum melanggar lubang berkenaan yang dianggarkan seluas satu meter.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang mangsa telah melanggar lubang berkenaan yang terletak di bahu kiri jalan. Akibat kejadian itu, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, mangsa tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Shamsul Amar, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk dibedah siasat.

“Proses bedah siasat selesai kira-kira pukul 10.50 pagi ini manakala mayat mangsa kemudiannya telah dituntut ahli keluarganya dua jam kemudian,” katanya yang turut memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE.