Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan berkata, amaran itu adalah sebagai peringatan kepada golongan penunggang motosikal bahawa mereka juga berdepan tindakan yang sama dikenakan kepada pemilik ken-deraan lain.

Beliau berkata, tindakan yang dikenali sebagai program E-Grip itu merupakan projek perintis dalam pengurusan lalu lintas agar lebih teratur dan sistematik.

Jelasnya, usaha tersebut juga bagi menyelesaikan masalah letak motosikal yang sering menyebabkan halangan umpamanya di petak sewa khas, petak letak kereta, petak pili bomba, petak orang kurang upaya dan laluan siar kaki.

“Pemilik motosikal yang didapati melanggar peraturan akan dikenakan tindakan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MPSJ 2007 (pindaan 2015) yang mana kenderaan mereka akan dikapit dan notis tawaran kompaun akan dikenakan.

“Caj sebanyak RM30 iaitu RM5 untuk kos kapit, RM20 (tawaran kompaun) dan RM5 caj perkhidmatan akan dikenakan kepada pesalah,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Tindakan Kapit Motosikal di Bandar Sunway di sini.

Yang turut hadir timbalannya, Mohd. Zulkurnain Che Ali.

Menurut Noraini, tindakan kapit motosikal dimulakan di Bandar Sunway selepas tindakan awal dibuat di kawasan ibu pejabat MPSJ.

“Kami turut mengkaji ke­perluan menambah tempat letak motosikal di kawasan tersebut. Ini termasuk mengenal pasti tempat sesuai bagi memastikan pengguna dapat memanfaatkan ruang sewajarnya,” katanya.

Tambahnya, pihak MPSJ meng­gesa pemilik motosikal yang dikenakan tindakan agar ber­urusan dengan anggota penguat kuasa bertugas untuk membuat bayaran kompaun dan tidak me­ngambil tindakan sendiri membuka kunci berkenaan.

“Pesalah terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah kesalahan vandalisme dan boleh dikenakan denda sehingga RM1,000,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kurang daripada 10 peratus pesalah trafik memanfaatkan tawaran diskaun kompaun tertunggak yang telah tamat bulan lepas.

“Sejumlah RM80 juta tunggakan direkodkan sejak 10 tahun lalu, namun hanya lapan peratus yang mengambil peluang untuk bayar dalam tempoh tawaran diskaun itu,” katanya.