Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Rashna Klang, Abdullah Sani Mohammad Yusoff, 56, berkata, banjir yang melanda kira-kira pukul 4 pagi ini adalah yang paling teruk dialami penduduk.

“Kami tidak sanggup menanggung kerugian nyawa serta wang ringgit kerana setiap kali berlaku kebanyakan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda masing-masing. Kami mahu masalah banjir diselesaikan segera.

“Kita tidak mahu menuduh mana-mana pihak tetapi penduduk percaya banjir ini berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sistematik setiap kali projek pembinaan dijalankan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Hujan lebat berterusan selama beberapa jam sejak awal pagi menyebabkan air sedalam lebih satu meter menenggelami beberapa kawasan antaranya Taman Bukit Kemuning dan Kampung Bukit Naga di Shah Alam serta Kampung Sungai Pinang, Bukit Raja, Taman Klang Utama, Taman Maznah dan Padang Jawa di Klang.

Menurut Abdullah, banjir berlaku amat cepat malah beliau sendiri tidak sempat menyelamatkan apa-apa termasuk lima buah kereta yang dimasuki air.

Tambahnya, sejak dahulu lagi penduduk memohon pihak berwajib menyelesaikan masalah ini namun malangnya keadaan tidak berubah dan ramai yang menjadi mangsa setiap kali hujan lebat.

“Setiap kali banjir, penduduk akan mengalami kerugian sehingga mencecah RM15,000 dan kami tidak sanggup lagi menanggung masalah ini. Kami mahu pihak berwajib khususnya kerajaan ne­geri segera membantu menyelesaikan isu ini,” katanya.