Yang Dipertua MPKj Mohd. Sayuthi Bakar berkata, operasi syarikat pemaju di laluan ber­kenaan tidak menyalahi peraturan kerana sudah mendapat kelulusan daripada Lembaga Le­buhraya Malaysia (LLM).

Beliau berkata, kebenaran menggunakan Persiaran Hamidiah sebagai laluan ke tapak pembinaan terletak di bawah bidang kuasa LLM manakala pihak MPKj selaku pihak berkuasa tempatan hanya bertindak kepada pelaksanaan undang-undang yang ditetapkan agensi yang berkuasa.

Sehubungan itu katanya, orang ramai khususnya penduduk di kawasan tersebut perlu faham dan bahawa setiap projek yang sedang berjalan pasti memerlukan laluan sementara untuk pemaju melakukan pembinaan.

“Keadaan seperti ini adalah cara kerja biasa dan berlaku di mana-mana tempat.

“Selagi laluan masuk ke tapak pembinaan itu masih belum siap, pemaju terpaksa mencari laluan alternatif untuk mela­ksanakan kerja-kerja pembinaan.

“Setelah projek itu siap dibina, pangsapuri tersebut akan mempunyai laluan sendiri yang dibina dari Le­buhraya Kajang SILK (SILK) dan tidak akan lagi menggunakan Persia­ran Hamidiah,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Sistem Pelesenan Atas Talian (E-Lesen) di sini, baru-baru ini.

Projek The Lourve di kawasan itu melibatkan pembinaan pangsapuri 36 tingkat yang bakal me­nempatkan 30 unit kedai dan 498 unit kediaman.

Pembinaan projek berkenaan baru-baru ini mencetuskan kerisauan penduduk yang bertindak menggesa pihak berkuasa tempatan campur tangan.

Mengulas mengenai Sistem Pelesenan Dalam Talian yang dilancar pada majilis itu, Mohd. Sayuthi memberitahu, sistem itu bertujuan memudahkan urusan permohonan dan pembaharuan lesen tidak berisiko dan lesen anjing.

Katanya, melalui sistem ber­kenaan pengguna boleh men­cetak lesen yang dipohon sebaik sahaja pembayaran dibuat.