Jika dahulu Hulu Langat dianggap sebagai kawasan penempatan yang terpinggir dan kurang membangun, keadaan kini sudah jauh berubah melalui impak pembangunan dalam pelbagai sektor yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.

Selain dikenali dengan keindahan alam semulajadi, kedudukan daerah itu yang terletak tidak jauh dari Kuala Lumpur dan P­utrajaya juga dilihat sebagai satu lagi ke­lebihan untuk menerima lebih ba­nyak impak daripada pembangunan.

Ketua UMNO Hulu Langat, Datuk Johan Abd. Aziz berkata, meskipun Hulu Langat berada di bawah pentadbiran Kerajaan Selangor, Kerajaan Persekutuan tidak pernah menafikan nikmat pembangunan di kawasan itu dengan melaksanakan pelbagai bentuk kemudahan dan infrastuktur awam.

Katanya, kesan pembangunan terbaharu dibuktikan dengan projek mega Transit Aliran Massa (MRT) yang merentasi beberapa tempat di daerah itu sehingga ke Kajang.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa mendengar dan merasa denyut nadi rakyat untuk menikmati kemudahan pengangkutan awam yang lebih baik dalam membantu penduduk di daerah ini mengurangkan perbelanjaan harian.

“Saya juga akan berusaha untuk mendapatkan jajaran sambungan MRT dari Kajang ke Semenyih yang melibatkan jarak tujuh kilometer. Saya dah mohon secara terbuka dengan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi dan beliau memaklumkan untuk mengkaji dan usulkan kepada kerajaan,” katanya.

Johan yang juga Setiausaha UMNO Selangor berkata, walaupun ha­nya diangkat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, pelbagai isu diperjuangkan untuk kira-kira sejuta penduduk di daerah itu antaranya rayuan menghapuskan kutipan tol Cheras sebelum Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Selain itu, saya kerap membawa Menteri, Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha dari pelbagai kementerian melawat kawasan Hulu Langat bagi meninjau potensi-potensi pembangunan.

“Oleh kerana penghijrahan ke kawasan urban dan semi-urban semakin meningkat saya rasa le­bih banyak kemudahan awam perlu diwujudkan seperti sekolah, klinik, kawasan perumahan dan jalan raya,” katanya.

Namun Johan berkata, untuk melincinkan pembangunan di kawasan itu, rakyat perlu memberi kepercayaan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) menerajui semula pentadbiran Hulu Langat.

Ditanya mengenai harapan dalam PRU-14, beliau yang juga pegawai tugas-tugas khas kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan meletakkan harapan yang tinggi untuk membantu BN menawan kembali Selangor bagi meneruskan agenda pembangunan untuk dinikmati rakyat.