Mereka diraikan oleh pengurusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang berkunjung ke hospital itu sambil menyampaikan sumbangan.

Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kunjungan tersebut amat bermakna sebagai tanda kesyukuran dan berkongsi kegembiraan bagi meraikan kelahiran bayi pada tarikh berkenaan.

"10 Oktober merupakan tarikh yang amat bermakna kepada MBSA kerana pada tarikh 10 Oktober 2000 iaitu 18 tahun lalu, MBSA telah dinaik taraf daripada Majlis Perbandaran kepada Majlis Bandaraya.

"Dalam kunjungan ini, kami menyumbangkan hamper berupa kelengkapan bayi dan wang tunai RM50 kepada bayi yang lahir," katanya kepada pemberita di Hospital Shah Alam, semalam.

Yang hadir sama ialah Timbalan Setiausaha MBSA, Rosli Bakar; Ketua Ahli MBSA, Kamarudzaman Sanusi dan Pengarah Hospital Shah Alam, Dr. Hasni Hanapi.

Shahrin menambah, pada tahun ini, pihaknya turut menyampaikan hamper dan wang tunai kepada kanak-kanak di Wad Pediatrik, Hospital Shah Alam.

Jelasnya lagi, antara pengisian aktiviti sepanjang Oktober ini adalah majlis bacaan Yasin dan doa selamat, Pameran Anggerik dan Pasar Bunga, Hari Tanpa Kenderaan, Hari Bertemu Pelanggan, Majlis Forum Perdana Ehwal Islam serta Jualan Sayur Petik Sendiri Dari Ladang. - UTUSAN ONLINE