Ketua Bahagian Komunikasi dan Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, program tersebut merupakan inisiatif pihaknya bagi menghargai sumbangan dan kerjasama baik yang diberikan oleh pihak media dalam menguar-uarkan aktiviti serta program berbentuk sukan, pembangunan masyarakat, kesenian dan kebudayaan, kejayaan, inovasi serta pengiktirafan hingga membantu membentuk persepsi positif masyarakat terhadap imej pihak berkuasa tempatan itu.

“Selain itu, lawatan ini bertujuan memperkasakan lagi hubungan yang telah sedia ada bersama pihak media.

“Pihak media memainkan peranan yang penting dalam memastikan sistem penyampaian kepada komuniti khususnya warga bandar raya Shah Alam berkesan,” katanya di sini, semalam.

Shahrin berkata, media massa juga menjadi pengantara di antara komuniti dan MBSA khususnya untuk mengutarakan aduan dan cadangan kepada pihaknya dari semasa ke semasa.

Menurutnya, MBSA amat komited untuk menjalinkan hubungan baik bersama pihak media massa secara konsisten bagi bersama-sama mempertingkatkan lagi sistem penyampaian.

“Dalam lawatan tersebut, pihak media dibawa ke kawasan-kawasan bersejarah seperti Kellie’s Castle, bandar raya Ipoh, Menara Condong Teluk Intan dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Beliau menambah, program sedemikian akan diteruskan bagi menjalin hubungan erat antara MBSA dan pemain industri media di negara ini amnya dah di Shah Alam khususnya. - UTUSAN ONLINE