Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Sharin Ahmad berkata, pihaknya menjunjung titah Sultan Selangor agar papan tanda yang mempunyai tulisan Cina itu digantikan dengan papan tanda jalan yang menggunakan bahasa Melayu.

“Tindakan segera telah diambil oleh pihak MBSA dengan menanggalkan papan tanda berkenaan di lokasi ia dipasang.

“Kerja-kerja menanggalkan papan tanda ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka selesai dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina di Shah Alam ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan satu bahasa iaitu bahasa Melayu.

Titah itu disampaikan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani melalui surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya dan juga Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad.

Dalam surat itu, Sultan Sharafuddin bertitah agar, operasi bagi menanggalkan semua papan tanda jalan berbahasa Cina tersebut dibuat segara dan ia mesti diselesaikan sebelum 11 Disember, iaitu tarikh ulang tahun keputeraan baginda.