Ambang tahun baharu disambut penuh meriah dan diisi de­ngan majlis doa selamat yang dianjurkan UMNO Bahagian Shah Alam di Plaza Tol Sungai Rasau.

Menjelang detik 12 tengah malam pula, orang ramai dike­tuai oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berarak ke plaza tol bagi acara menaikkan palang sebagai simbolik pemansuhan kutipan tol di Sungai Rasau.

Menurutnya, sebelum ini pengguna dikenakan tol RM1.10 di Batu Tiga dan RM1 di Sungai Rasau, sekali gus pemansuhan caj memberi penjimatan antara RM48 hingga RM126 sebulan.

“Pemansuhan ini juga akan menyebabkan pengguna menikmati laluan tanpa tol 20 tahun lebih awal daripada tempoh sepatutnya iaitu pada 2038," katanya di sini, semalam.

Noh yang juga Menteri Kese­jahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberitahu, kedua-dua tol itu ditutup hasil perjuangan UMNO Bahagian Shah Alam yang setiap tahun mengusulkan perkara sama dalam persidangan UMNO bahagian.

“Dalam Persidangan UMNO bahagian tahun ini yang dirasmikam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, saya sendiri bersama kepimpinan UMNO bahagian sekali lagi meminta sekurang-kurangnya satu tol ditutup tapi beliau (Najib) hanya tersenyum dan dalam diam beliau mengumumkan pemansuhan tol ini pada pembentangan Bajet 2018, Oktober lalu," jelasnya.

Berikutan pemansuhan kutipan tol itu, jelasnya, operasi dan penyelenggaraan keseluruhan jajaran Lebuh Raya Persekutuan akan diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya.

“Kesemua jajaran yang terlibat juga akan diwartakan sebagai Jalan Persekutuan,” ujarnya.