Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar utama seperti Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka memperlihatkan banyak perniagaan di tepi-tepi jalan yang menjual hidangan tersebut malah ada segelintir penduduk yang sanggup bersusah menyediakannya sendiri.

Pemilik Lemang Pandan Haji Yusof di Seksyen 17 di sini, Yusof Musbah, 65, berkata, lemang pandan buatannya sudah semakin terkenal di bandar raya ini sejak enam tahun lalu setiap kali sam­butan Aidilfitri dan Aidiladha.

“Saya pada mulanya mengusahakan lemang ini dengan menantu saya sekadar suka-suka, namun apabila lemang pandan hasil tangan kami semakin mendapat sambutan ia bertukar menjadi perniagaan yang menjana pendapatan utama kepada saya.

“Orang bandar hari ini walaupun makan kuih-muih moden, mereka tetap memilih lemang sebagai sajian wajib di hari raya hinggakan baru-baru ini saya menerima tempahan hampir 1,500 batang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Yusof berkata, lemang pandannya mempunyai kaedah penyediaan tersendiri yang terpaksa dirahsiakan bagi menjamin kua­liti lemang pandan miliknya yang dijual mengikut saiz paling besar RM19, sederhana besar RM17 dan yang kecil RM13.

Sementara itu pengusaha Lemang Ombak Rindu dari Kanchong Tengah di Banting, Kuala Langat, Nasrul Misraini, 34, berkata, dia menjual lemang dari RM10 hingga RM14 sebatang mengikut saiz bermula sehari sebelum Syawal.

“Di sini harga lemang pulut biasa yang saya jual masih murah kerana bahan mentahnya mudah didapati kerana suasana kampung masih wujud di sini. Sehari saya boleh menjual sebanyak 40 batang yang mana saya bermula berniaga pada sebelah petang.

“Keistimewaan lemang saya adalah pada rasa dan cara memasaknya yang memerlukan api tidak membakar sebahagian buluh hingga menyebabkan ia hangit.

Jika ia berlaku saya akan buang lemang ter­sebut demi menjaga kua­liti,” katanya.