Difahamkan, ia bukan masalah baharu sebaliknya berlarutan sejak sekian lama sehingga menimbulkan rasa kurang selesa dalam kala­ngan penduduk berikutan kawasan itu berbau busuk dan me­ngundang pencemaran alam sekitar.

Tinjauan Skuad Terjah di kawasan terbabit iaitu Persiaran Lestari Perdana 5 dan Persiaran Lestari Putra mendapati, sampah sarap itu dibuang dan dilonggokkan sesuka hati di jalan utama yang menjadi laluan pengguna setiap hari.

Lebih mengejutkan apabila masalah itu turut melarat ke Persiaran Lestari Perdana 2 dan Persiaran Kota Perdana.

Melihat keadaan ini timbul persoalan di manakah pihak berwajib dalam menangani isu ini dan semakin kritikalkah mentaliti masyarakat kita hari ini.

Skuad Terjah yang melalui jalan tersebut boleh diumpamakan seperti merentasi lautan ke tapak pelupusan sampah haram yang pastinya menyakitkan mata memandang.

Berdasarkan pemerhatian, pelbagai jenis sampah terdiri daripada sisa pepejal hingga sampah pukal seperti perabot dan sisa binaan termasuk tayar meme­nuhi kawasan .

Papan tanda amaran ‘Di la-rang membuang sampah, denda RM10,000’ yang dipasang Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) langsung tidak dihiraukan.

Rata-rata penduduk yang ditemui melahirkan kebimbangan tentang keselamatan dan kesihatan mereka berikutan lokasi tersebut menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes dan mengundang kehadiran anjing dan gagak.

Sehubungan itu, penduduk meminta agar ‘tangan-tangan kotor’ itu menghentikan segera perbuatan tersebut untuk mengelak ke­adaan menjadi bertambah buruk.

Selain itu, MPSJ dan Jabatan Alam Sekitar juga perlu memainkan peranan lebih efektif dengan memantau dan melakukan intipan agar kawasan itu tidak lagi dijadikan lokasi pembuangan sampah haram.

Turut dibangkitkan penduduk adalah isu longkang besar berhampiran yang ditumbuhi semak-samun dan tidak disenggara bertahun-tahun sekali gus menjadi punca berlakunya kejadian banjir kilat.