Penyelaras Program Konservasi Sungai Selangor, Masbudi Abdul Malek berkata, program konservasi itu merupakan inisiatif yang dimulakan oleh pihaknya bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepenti­ngan memelihara alam sekitar menerusi kerja-kerja pembersihan sungai yang dijalankan secara gotong-royong.

“Kita semua tahu bahawa Su­ngai Selangor ini merupakan antara sungai yang menjadi nadi penting kepada masyarakat ne­geri ini. Sungai ini jugalah tempatnya habibat semula jadi kepada kelip-kelip yang menjadi tarikan utama di Selangor ini.

“Justeru, Progam Konservasi Sungai Selangor ini adalah bertepatan mahu memastikan khazanah alam di negeri ini terpelihara. Hasilnya, kita berjaya mengembelengkan lebih 100 sukarelawan daripada pelbagai pihak membersihkan sampah di Sungai Selangor menerusi 10 aktiviti sejak Januari lalu hingga ke hari ini, kita telah mengutip 1.5 tan metrik sampah dari sungai ini,” kata beliau ketika ditemui di Jeti Pusat Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Kuantan, di sini baru-baru ini.

Terbaharu katanya, pihaknya turut mengadakan kerjasama dengan Persatuan Pendayung Kelip-Kelip Kampung Kuantan dan Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) mengutip 150 kilogram sampah di Sungai Selangor termasuk bahan yang tidak mudah terurai seperti polisterin, botol plastik dan sebagainya.

Kesemua sampah itu katanya, diasing terlebih dahulu sebelum dikitar semula atau dilupuskan.

“Kita berharap selepas ini orang ramai tidak lagi membuang sampah ke dalam Sungai Selangor. Jika pencemaran ini berterusan, ia sudah tentunya akan menyebabkan ekosistem sungai ini terjejas.

“Justeru, pada tahun 2018 kami akan terus bekerjasama dengan menarik lebih ramai penyertaan dari semua pihak sekaligus meningkatkan lagi kesedaran masyarakat,” ujarnya.