Skuad Terjah minggu ini turun ke lokasi bagi melihat  sendiri sejauh mana seriusnya masalah pencemaran sungai yang didakwa berlaku sejak setahun lalu sehingga menjejaskan alam sekitar dan tanaman penduduk berhampiran.
Jika benar, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang  mengakibatkan  pencemaran itu.

 

SEMENYIH 2 Mac  -  Pencemaran sungai di sekitar Semenyih semakin menjadi-jadi.

Itulah yang berlaku di Sungai Sompo, Beranang di sini apabila air sungai yang dahulu­nya jernih kini berubah menjadi kopi susu.

Penduduk men­dakwa, kegiatan me­ngorek pasir tanpa kawalan di Lenggeng Negeri Sembilan sejak setahun lalu menjadi punca sungai itu tercemar.

Bukan sahaja air sungai bertukar keruh, tetapi turut berlaku mendapan pasir dan lumpur yang teruk.

Kegiatan itu turut memberi kesan kepada pekebun kecil yang menggunakan air sungai tersebut sebagai sumber pengairan kepada tanaman mereka.

Tinjauan Skuad Terjah di sepanjang sungai mendapati ali­ran air mengalir lesu. Jika keadaan itu dibiarkan tanpa tindakan sudah pasti air sungai terus tercemar, alam sekitar akan musnah dan kehidupan penduduk di kawasan terbabit akan terus terancam.

Sehubungan itu kerajaan Ne­geri Selangor, Negeri Sembilan, Pejabat Tanah dan Galian, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pe­ngairan dan Saliran serta Jabatan Alam Sekitar digesa mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah Sungai Sompo yang teruk tercemar ketika ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Gagasan Prihatin Semenyih (GPS), Azman Ahmad mendakwa, sehingga kini tiada sebarang usaha dan tindakan diambil pihak berkuasa termasuk kerajaan ne­geri Selangor berhubung masalah itu.

Menurutnya, menjadi tanggungjawab pihak berkenaan memantau dan mencari penyele­saian kepada isu itu.

“Sungai ini merupakan antara sumber bekalan air kepada penduduk Lembah Klang.

Jika tidak diambil tindakan dibimbangi masalah ini akan merebak ke cabang lain sete­rusnya berlaku lagi penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sehingga menyebabkan gangguan bekalan air sekali lagi,” katanya.