Ini selepas Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memberi pe­luang kepada Storm Event Sport menjalankan operasi kereta berhias sebagai usaha menarik lebih ramai pengunjung ke dataran ber­kenaan.

Bagaikan sebuah pesta apabila melihat pelbagai jenis kereta dan beca dihias dengan lampu berwarna-warni serta bunyi-bunyian daripada sistem audio.

Selain kereta berhias, turut menjadi tumpuan adalah basikal KMX khusus untuk kanak-kanak iaitu sebuah basikal tiga roda yang boleh di­kayuh sambil berbaring mengeli­lingi dataran tersebut.

Penganjur Storm Event Sport, Muhamad Fakhrur Radzi Adzhar berkata, pengunjung berpeluang menaiki kereta berhias yang kini menjadi tarikan baharu di dataran itu untuk akti­viti riadah bersama ke­luarga pada se­belah malam.

Menurutnya, empat kereta berhias yang dilengkapi lampu dan audio dibeli dari negara jiran.

“Kos sebuah kereta ber­hias mencecah sehingga RM18,000 Bagaimanapun, pelaburan kami berbaloi kerana sejak diperkenalkan sebulan lalu sambutan yang diterima daripada pengunjung amat menggalakkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Muhamad Fakhrur berkata, sebelum ini syarikat milik ke­luarganya itu hanya menyediakan perkhidmatan beca berhias, permainan kereta kawalan jauh untuk kanak-kanak dan ‘Storm Giant Bubble’.

Menurutnya, bagaimanapun selepas diberi peluang oleh MPKj, pihaknya memperluaskan perkhidmatan dengan memperkenalkan kereta berhias di dataran itu.

“Selain menjalankan perniagaan di sini, kami turut terlibat dengan karnival dan acara di sekolah-sekolah,” katanya.

Orang ramai yang berminat mendapatkan perkhidmatan kereta berhias Storm Event Sport, boleh menghubungi talian 017 2491736 untuk sebarang perta­nyaan.