Manifesto untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu antara lain menggariskan mengenai pelupusan serta hutang tambahan semasa proses penanaman semula selain pemberian insentif khas sebanyak RM5,000 kepada setiap peneroka.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan Felda Gedangsa dan Soeharto di sini hari ini mendapati, rata-rata penduduk menyuarakan harapan tinggi untuk melihat BN mengotakan janji tersebut sekiranya terus diberikan mandat menerajui kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Felda Soeharto, Zainuddin Mat Naan, 60, berkata, tawaran pelupusan hutang itu tepat pada masanya meman­dangkan jumlah hutang peneroka semakin meningkat disebabkan hasil ladang berkurangan.

“Kalau dahulu peneroka dapat hasil kelapa sawit antara lapan hingga 10 tan sebulan tetapi kini dua tan sahaja menyebabkan pendapatan mereka merosot.

“Selain itu, penanaman pokok kelapa sawit juga berkurangan daripada 550 kepada 400 pokok di atas tanah berkeluasan empat hektar tetapi kos dikira berdasarkan keluasan tanah tersebut, bukannya jumlah pokok,” katanya yang juga generasi kedua Felda selama 49 tahun.

Bagaimanapun beliau berkata, penduduk kawasan itu terhutang budi dengan Felda yang mengubah nasib mereka seiring dasar disifatkan terbaik dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi orang Melayu.

“Tetapi malangnya hari ini terdapat masalah tadbir urus ladang yang sedikit merencatkan pembangunan Felda dan peneroka.

“Harapan saya, bukan sahaja bantuan, tadbir urus ladang dan bagaimana hutang-hutang diurus dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Ja­watankuasa Kemajuan dan Ke-selamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Felda Gedangsa, Mohd. Supni Soeib, 65, pula berkata, peneroka Felda di kawasan itu beruntung kerana diberikan ta-nah seluas 3.64 hektar untuk membangunkan ladang sawit selain 0.1 hektar untuk kediaman.

“Hasil daripada penerokaan itu membolehkan peneroka mendapat dividen saham sebanyak 10 peratus sejak lebih 30 tahun lalu. Selain itu, potongan hutang pe-neroka juga boleh ditangguhkan sekiranya pendapatan mereka di bawah RM1,000,” katanya.

Ditanya mengenai pembangunan prasarana pula, beliau berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan peneroka malah menyediakan pelbagai infrastruktur dan kemudahan asas antaranya, klinik, sekolah, jalan raya, dewan komuniti dan pusat internet dalam memenuhi keperluan dan kehendak mereka.