Keadaan pasti menjadi lebih buruk apabila sesuatu kawasan itu dibayangi pelbagai masalah sosial dan aktiviti tidak bermoral sehingga menjejaskan ketenteraman orang ramai. Skuad Terjah kali ini menyusuri lorong -lorong kawasan komersial di Damansara Damai, Petaling Jaya yang semakin dimonopoli warga asing.


PETALING JAYA 27 Mac  -  PERSEKITARAN luaran di kawasan komersial Jalan PJU 10/1, Damansara Damai di sini tidak banyak berbeza dengan premis perniagaan di tempat-tempat lain namun di sebalik blok-blok rumah kedai tersebut tersembunyi kejelekan ragam penghuni warga asing yang kian memonopoli kawasan itu.

Pengalaman memandu di ce­lah-celah lorong bangunan perniagaan di situ tidak ubah seperti berada di kawasan kejiranan ghetto dengan kelibat warga Afrika yang kelihatan seperti samseng jalanan.

Tidak kurang juga kelibat kumpulan-kumpulan kecil warga Nepal, Vietnam, Myanmar dan Bangladesh.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu mendapati premis-premis perniagaan seperti bengkel kenderaan, kedai makan, kedai runcit, tempat cuci kenderaan beroperasi dalam keadaan tidak terurus, kotor dan seperti tiada pemantauan pihak berkuasa.

Sedangkan di kawasan yang menempatkan kemudahan asas seperti bank dan klinik itu masih menjadi tumpuan rakyat negara ini yang jelas semakin tertekan ekoran pertambahan koloni warga asing di situ.

Bahkan, premis-premis perni­agaan milik warga asing dilapor­kan semakin bercambah dan tanpa segan silu menggunakan papan tanda dalam bahasa mereka.

Lebih memburukkan lagi keadaan, peraturan lalu lintas di situ seperti langsung tidak dihiraukan, sesak kerana tingkah laku orang ramai yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

Perbuatan vandalisme terhadap papan tanda lalu lintas, pembahagi jalan termasuk tiang lampu sekali gus mendedahkan kawasan itu kepada ancaman bahaya kemalangan.

Suasana ghetto makin ke­tara pada sebelah malam apabila kumpulan demi kumpulan ‘awang hitam’ turun ke jalanan dan berkumpul di sebuah premis yang tidak berpapan tanda. Keadaan itu bukan sahaja mencetuskan tanda tanya bahkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Selepas diselidiki, penulis difahamkan bahawa tempat tersebut merupakan pusat hiburan yang beroperasi secara haram sejak beberapa bulan lalu.

Seperti tiada pemantauan, operasi yang bermula sekitar pukul 10 malam itu berlarutan sehingga pukul 4 pagi. Dentuman muzik yang kuat daripada pusat hiburan tersebut menyebabkan bunyi bising yang mengganggu penduduk.

Melihat pada tingkah laku samseng dan mencurigakan warga Afrika itu di pusat hiburan berkenaan, tidak mustahil lokasi itu dijadikan sarang pelbagai ke­giatan jenayah seperti dadah dan pelacuran.

Masalah sosial seperti ini bukan sahaja mencacatkan pemandangan tetapi jika dibiarkan pasti mengundang kekacauan dan memberi kesan negatif khususnya dalam kalangan belia.

Melalui tinjauan yang dilakukan, rata-rata penduduk menyatakan kebimbangan mengenai tahap keselamatan di kawasan penempatan mereka itu dan menyeru pihak berkuasa tempatan tampil melakukan ‘pembersihan’.