Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN), Baharin Idris berkata, guru tadika merupakan salah satu teras utama pendidikan negara terutama dalam memupuk perpaduan.

“Saya harap guru-guru tadika tidak berasa malu atau segan menjadi seorang guru tadika.

“Guru tadika ini berperanan besar mengajar anak-anak membaca dan mengira sehingga kanak-kanak itu memasuki alam persekolahan dan mewarisi kepimpinan negara,”

katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Hari Guru JPNIN di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Sementara itu menurut Azhari ketika ditemui selepas majlis tersebut berkata, guru tadika berperanan besar mendidik anak-anak bangsa dan tidak seharusnya masyarakat memandangkan mereka sebagai guru kelas kedua.

“Di peringkat tadika inilah peranan besar untuk menjadikan rakyat bersatu-padu sudah bermula dan tugas itu dilaksanakan dengan baik oleh guru-guru tadika,” katanya. - UTUSAN ONLINE