Pengerusi Persatuan Penduduk Anggerik Liparis, Mohamad Najib Saad berkata, laluan sepanjang 800 meter yang ditukar menjadi laluan sehala itu mengundang kesesakan lalu lintas dan keadaan menjadi bertambah teruk pada waktu puncak.

“Saya mewakili penduduk di sekitar kawasan ini terkejut apabila jalan yang selama ini digunakan untuk berulang-alik ditukar menjadi sehala.

“Kami difahamkan perubahan ini dibuat untuk mengelak masalah trafik tapi kesesakan jalan raya di kawasan SMK Kota Kemuning sebenarnya berpunca daripada pertambahan jumlah pelajar di sekolah berkenaan kerana semakin ramai ibu bapa pelajar menggunakan jalan berkenaan,“katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Najib berkata, selain kesesakan pada waktu sesi persekolahan bermula, laluan berkenaan menjadi semakin sesak pada sebelah petang akibat aktiviti penjaja di hadapan sekolah.

“Kesesakan menjadi bertambah teruk apabila aliran trafik menjadi perlahan kerana ramai pelajar yang menyeberangi jalan untuk membeli makanan yang dijual penjaja,” katanya.

Penduduk kampung, R. Chellapa, 67, memberitahu, beliau yang sudah tinggal lebih 16 tahun di kawasan tersebut mahu laluan di jalan itu ditukar semula menjadi dua hala.

“Laluan alternatif yang disediakan agak tidak masuk akal kerana penduduk terpaksa membuat pusingan sejauh tiga kilometer semata-mata untuk ke kedai yang terletak bersebelahan dengan sekolah ini.

Seorang lagi penduduk, Dr. Kok Poh Chu, 57, berpendapat, pelaksanaan laluan sehala itu tidak praktikal kerana waktu sesak hanya berlaku selama beberapa jam pada waktu mula dan tamat persekolahan.

“Laluan ini merupakan jalan utama yang digunakan penduduk untuk keluar membeli barangan keperluan seharian.

“Jika mahu dijadikan laluan sehala, mungkin hanya untuk beberapa jam pada waktu puncak sudah memadai.

“Alternatif lain termasuk menjadikan kawasan lapang di hadapan sekolah sebagai kawasan ibu bapa meletak kenderaan ketika menghantar atau mengambil anak pulang dari sekolah,’’ katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan berkenaan mendapati jalan raya yang digunakan sebagai laluan utama penduduk di situ sesak akibat tindakan pemandu yang memberhentikan kende­raan dan menghalang laluan.