Pengurus Pemasaran Pusat Beli Belah IPC, Eleanor Lo berkata, program yang berlangsung sehingga 3 Jun ini memberi peluang kepada orang ramai untuk menjual semula barang-barang kitar semula dan menebus ganjaran menarik yang disediakan.

“Pengunjung hanya perlu membawa sekurang-kurangnya tiga kilogram bahan buangan seperti surat khabar, botol plastik dan tin alumunium,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Eleanor, pengunjung hanya perlu membawa bahan kitar semula ke tempat letak kenderaan berhampiran Pillar 8D, tingkat P1 bangunan IPC untuk proses timbang dan jualan.

“IPC merupakan pusat beli-belah pertama di Lembah Klang yang memperkenalkan sistem beli semula bahan kitar semula melalui pelancaran Pusat Kitar Semula dan Beli Balik pada tahun 2009 selain mengamalkan konsep hijau dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata, amalan itu merupakan komitmen IPC dalam melaksanakan tanggungjawab bumi yang lebih hijau.

Dalam pada itu, IPC kini sedang memohon beberapa pensijilan bangunan hijau, termasuk Indeks Bangunan Hijau Malaysia serta Kepimpinan Rekabentuk Tenaga dan Alam Sekitar.

Maklumat lanjut mengenai Pusat Kitar Semula & Beli-Balik Pusat Beli-belah IPC serta kempen terbaharunya boleh dilayari di laman web www.ipc.com.my/whats-new/events/2018/RBBC-2018/. - UTUSAN ONLINE