Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr. Noor Zari Hamat berkata, idea itu adalah bagi membentuk entiti perniagaan melalui modal saham ahli-ahli kariahnya.

Menurutnya, ia juga bagi menambah pendapatan kepada ahli kariah selain menjana pendapatan kepada masjid serta membuka peluang pekerjaan dan rangkaian perniagaan baharu.

“Objektifnya adalah bagi me­nyediakan kemudahan dan perkhidmatan bagi kariah di samping menggembleng sumber-sumber seperti modal kewangan dan kemahiran kariah yang sedia ada termasuk pengumpulan produk.

“Setakat Jun lalu terdapat sebanyak 401 koperasi masjid de­ngan jumlah keanggotaan 26,899 orang dan nilai syer RM2 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam majlis perasmian pembukaan Pasar Komuniti dan Kedai Koperasi Masjid Nurul Yaqin Kelana Jaya Berhad (Koyaqin), di sini baru-baru ini.

Menurut Noor Zari, pembukaan pasar komuniti tersebut dengan kerjasama SKM merupakan usaha bagi mempromosikan produk jualan di samping membuka ruang pasaran dan lebih pilihan buat pengguna.

“Sifat dan budaya keusahawanan dapat dipupuk dengan penglibatan umat Islam dalam perniagaan dan industri penghasilan makanan halal.

“Ini seiring dengan Pelan Tindakan Sektor Pemborongan dan Peruncitan Koperasi 2016-2020 dengan sasaran perolehannya kepada industri sebanyak RM12.6 bilion dengan peluang pekerjaan seramai 24,880 orang menjelang 2020,” katanya.