Perkhidmatan bas elektrik per­tama negara dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lebih dua tahun lalu itu menjadi pilihan kerana ia bergerak lancar menggunakan laluan ber­tingkat khas, sekali gus memastikan perjalanan mengikut waktu yang dirancang.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pelajar sekolah dan penuntut universiti antara paling ramai menggunakan BRT yang melibatkan tujuh stesen dengan jarak keseluruhan 5.4 kilometer.

Dilengkapi ciri-ciri keselamatan tinggi, inisiatif pe­ngangkutan awam dibangunkan Kumpulan Prasarana dan Kumpulan Sunway itu menjamin ke­selesaan serta keselamatan pengguna.

Rata-rata pengguna menyarankan supaya perkhidmatan efisien itu perlu diperluaskan ke kawasan berhampiran sama ada oleh kerajaan atau menerusi inisiatif perkongsian pintar sektor awam dan swasta.

Ramai memuji BRT sebagai usaha dalam menangani masalah kesesakan jalan raya yang sema­kin ketara berikutan pertambahan jumlah kenderaan setiap tahun selain mencapai sasaran 40 peratus penggunaan pengangkutan a­wam menjelang 2030.

Difahamkan, inisiatif per­khid­matan BRT ini juga dirancang diperluaskan ke kawasan Klang-Kuala Lumpur melibatkan jajaran Lebuhraya Persekutuan namun ditangguhkan bagi memberi keutamaan kepada projek Transit Aliran Ringan (LRT) 3.

Pemerhatian juga mendapati, walaupun perkhidmatan itu cepat dengan kekerapan bas antara empat hingga 10 minit, namun tidak ramai pengguna daripada pekerja sektor awam dan swasta menggunakan kemudahan tersebut untuk ke tempat kerja.

Ramai yang lebih gemar menggunakan ken­deraan sendiri walaupun perkhidmatan tersebut menghubungkan ste­sen Komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan LRT.

Sehubungan itu, usaha untuk menggalakkan masyarakat menggunakan kemudahan itu perlu diperhebatkan selaras dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan lagi penggunaan teknologi hijau dan gaya kehidupan baharu yang mesra alam dalam perkhidmatan pengangkutan awam.