Pelbagai cerita seram juga pernah didengar meniti daripada bibir ke bibir.

Namun itu cerita lama dan kini, laluan utama ke Puncak Alam itu sudah bertukar landskap berikutan sudah diterokai untuk projek-projek pembangunan.

Kawasan hutan dan bukit yang dahulunya menjadi habitat haiwan liar serta kawasan tadahan air dengan rakus terus dite-rokai atas alasan pembangunan.

Banyak kawasan hutannya kini sudah jadi padang jarak padang tekukur, menanti masa sahaja untuk didirikan pelbagai jenis bangunan.

Difahamkan sepanjang laluan kira-kira 17.2 kilometer berkenaan, terdapat tidak kurang daripada 20 projek pembangunan telah dimasukkan ke dalam pelan induk pembangunan setempat.

Setakat ini, lebih lapan projek pembinaan perumahan dan bangunan komersial seperti rumah kedai sedang dijalankan di sepanjang laluan tersebut.

Lebih membimbangkan, sejak akhir-akhir ini, pembangunan di kawasan terbabit dilihat sema-kin pesat hinggakan bukit-bukau pun habis digondolkan.

Rata-rata penduduk yang ditemui menyuarakan rasa tidak puas hati ekoran pembangunan pesat tersebut seperti tidak mengambil kira soal keselamatan dan ketenteraman penduduk kampung berhampiran.

Penduduk bimbang jika pembangunan tidak dikawal risiko kejadian banjir kilat pada pertengahan November 2015 yang melanda Bandar Puncak Alam dan beberapa kampung berhampiran berulang.

Utusan Malaysia difahamkan, projek pembangunan yang giat dijalankan turut menyebabkan kesesakan sepanjang Persiaran Mokhtar Dahari dan Jalan Paip terutama pada waktu puncak.

Turut menimbulkan keresahan penduduk kehadiran lori muatan berat yang bebas keluar dan masuk di tapak projek pembangunan berhampiran.

Ekoran daripada aktiviti tersebut jalan di situ rosak teruk.Malah bilangan lori yang ba­nyak boleh mengancam nyawa mereka kerana dipandu secara bahaya.