Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. S. Balachandran berkata, hospital itu dibuka kepada orang ramai termasuk perkhidmatan klinik pakar selepas berjaya disiapkan sepenuhnya pada 30 Jun lalu.

“HSA mula menerima kehadiran­ pesakit untuk mendapatkan perkhidmatan­ perubatan.

“Kita harap dengan operasi HSA ini akan dapat memberi manfaat kepada orang ramai untuk mendapatkan kemudahan kesihatan yang terbaik,” katanya ketika dihubungi di sini.

Pada masa sama, Balachandran turut menyatakan komitmen pihaknya untuk memastikan kualiti­ perkhidmatan HSA sentiasa berada pada tahap terbaik bagi memenuhi keperluan rakyat di bandar raya ini serta kawasan sekitarnya.

Sebelum ini, pembinaan HSA yang bermula pada 2007 terbantut berikutan kontraktor pertama yang dilantik gagal menyudahkan kerja-kerja.

Ekoran penangguhan tersebut, kos pembinaan HSA bertambah sebanyak RM67 juta manakala kontrak asal projek berharga RM482 juta.

HSA menawarkan perkhidmatan kesihatan dengan kapasiti 300 buah katil selain mempunyai 13 jenis perkhidmatan pakar seperti­ pediatrik, optamologi, ginekologi dan obstetrik selain mempunyai 1,268 kakitangan meliputi 300 orang doktor dan 60 pakar perubatan pelbagai bidang.