Tahun ini merupakan tahun ketiga penganjuran program yang diadakan pada hari Ahad minggu kedua setiap bulan itu.

Penolong Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Nazihah Jaafar berkata, penganjuran program adalah atas kesedaran dan usaha pihak berkuasa tempatan itu untuk mengurangkan penggunaan kenderaan dan pelepasan asap karbon dioksida.

Menurutnya, program itu juga bertujuan membudayakan rasa cinta masyarakat kepada alam sekitar melalui pengisian pelbagai aktiviti berkonsepkan gaya hidup dan riadah.

“Sambutan yang diterima daripada warga bandar raya ini amat menggalakkan.

“Ini dapat dilihat melalui penyertaan mereka dalam pelbagai acara yang diatur seperti zumba, pertandingan mewarna, mencari harta karun dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada program Hari Bebas Kenderaan PJ keenam di sini.

Program itu berjaya menarik lebih 2,000 peserta terdiri daripada kakitangan MBPJ, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga bandar raya itu.

Terdahulu Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd. Azizi Mohd. Zain melepaskan peserta berbasikal yang menyertai program itu.

Sementara itu, seorang peserta OKU, Ang Tian Koh, 57, yang ditemui berkata, beliau dan rakan-rakan tidak pernah melepaskan peluang menyertai program itu sejak dianjurkan.

“Aktiviti yang diadakan menggalakkan peserta mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Bagi pelajar, Faiz Zulkifli, 18, pula berpendapat program itu menggalakkan penglibatan golongan belia dalam aktiviti bermanfaat dan menyihatkan tubuh.