Shahrizal berkata, rentetan daripada peristiwa tersebut, beliau bersama Persatuan Gusti Lengan Selangor (PGLS) bertekad untuk menarik lebih ramai golong­an muda menyertai sukan gusti lengan bagi mengelakkan mereka terdedah kepada aktiviti tidak sihat.

“Aktiviti gusti lengan ini kita akan anjurkan pada se­belah malam sekurang-kurangnya se­kali dalam seminggu dan secara tidak langsung kita menyediakan satu platform untuk mereka kerana kita tidak mahu insiden di Johor Bahru itu berulang pada masa hadapan.

“Sukan gusti lengan ini pula bukanlah asing di Malaysia dan kami dapati ia semakin diminati rakyat negara ini. Kita percaya program sebegini dapat menghindari remaja daripada aktiviti tidak sihat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Shahrizal, pihaknya serius untuk menjadikan sukan gusti lengan sebagai sukan rakyat dengan penglibatan semua persatuan belia daerah di Selangor dan ketika ini MBD dengan kerjasama Kelab Gusti Lengan Kampung Jalan Kebun sedang berusaha keras ke arah itu.

Jelasnya, bagi memastikan has­rat itu menjadi kenyataan pi­hak­nya akan menganjurkan siri pertandingan gusti lengan peringkat negeri serta kebangsaan dan diharap melaluinya akan menarik minat lebih ramai anak muda untuk menyertai sukan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi PGLS, Aziz Ali berkata, sebagai persatuan sukan yang mempunyai sumber kewangan terhad, pihaknya berharap badan korporat tampil menaja aktiviti-aktiviti gusti le­ngan kerana manfaatnya adalah untuk seluruh rakyat.

“Kita komited menjadikan gusti lengan bukan sahaja sebagai pembentuk disiplin anak muda tetapi sebagai acara sukan yang boleh menyatukan semua pihak di Malaysia kerana setiap kali pertandingan diadakan, pesertanya terdiri daripada pelbagai bangsa,” katanya.