Kemenangan guru Pendidikan Islam itu disampaikan pihak sekretariat melalui kiriman emel pada 3 Oktober lalu dan ucapan tahniah daripada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, sehari selepas itu.

Hadiah kemenangan akan disampaikan pada 29 November ini di Chiang Mai.

Mohd. Khairul berkata, pencapaian tersebut membuktikan karya rakyat negara ini mampu menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Ribuan terima kasih kepada Menteri Pendidikan yang mengucapkan tahniah atas kejayaan saya ini, saya sungguh terharu. 
“Kejayaan ini walaupun telah diumumkan, namun saya hanya akan menerima hadiah daripada penganjur pada hujung November di Chiang Mai, Thailand,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Khairul berkata, karya yang dimenanginya akan dipertontonkan kepada umum di Pameran Antarabangsa Bahan Kandungan Hak Kanak-kanak (ICCRF) di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Chiang Mai dari 29 November hingga 2 Disember ini.

Jelas beliau, karya tersebut berupa sebuah buku bergambar bertajuk A Big Good Wolf.

“Ia mengisahkan seekor serigala bernama Wolf yang tidak pandai bergaul dan berkawan. Penampilannya yang kurang menyenangkan membuatkan haiwan lain menjauhkan diri.

“Namun ada sekumpulan haiwan (ayam) yang datang untuk membantu Wof dan mengubah penampilannya. Akhirnya Wof memiliki kawan dan disenangi semua,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE