Pengerusi Jawatankuasa Ber­tindak Penduduk Kampung Sungai Tua, Rabiah Hussien berkata, kejadian kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Jalan Ulu Yam minggu lalu masih lagi memberi kesan hingga menjejaskan aktiviti harian penduduk serta mengancam kesihatan.

Katanya, lokasi kebakaran masih dilitupi asap yang dapat dilihat dari jauh dengan bau busuk yang menular hingga ke Taman Sela­yang, Batu Caves di sini.

“Majlis Perbandaran Sela­yang (MPS) perlu bertindak lebih tegas tanpa kompromi de­ngan mana-mana pihak terlibat sama ada berpermit atau haram ekoran kemusnahan alam hingga mencetus malapetaka kepada penduduk berhampiran.

“Tapak tersebut disedari penduduk beroperasi secara licik hampir setahun dan menjadi akses ratusan buah lori pelbagai had muatan keluar masuk sebaik hari gelap antara pukul 7 malam hingga 5 pagi,” katanya dalam tinjauan bersama wakil penduduk sekitar di sini baru-baru ini.

Kejadian pada Rabu minggu lalu menyebabkan asap tebal menutupi kawasan tanah tinggi sehinggalah beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dikerah untuk mengawal api yang marak.

Difahamkan, kebakaran di tapak pelupusan haram seluas kira-kira 3.6 hektar dipercayai milik persendirian berkenaan bermula kira-kira 11 pagi pada 13 Disember lalu dan api masih merebak di bahagian bawah timbunan sampah.

Sementara itu jurucakap MPS berkata, pihak bomba masih meneruskan usaha bagi mengawal kebakaran daripada me­rebak ke kawasan belukar berhampiran namun berdepan ma­salah sumber air selain faktor angin.

“MPS sudah menahan lapan buah lori dalam satu tindakan sebelum kejadian kebakaran berlaku malah notis juga dikeluarkan kepada pemandunya.

“Manakala Pejabat Daerah dan Tanah Gombak juga telah mengeluarkan notis kepada pemilik tanah serta mengarahkan pondok yang menjadi pusat gerakan mereka ditutup,” katanya.