Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, hadiah tersebut bertujuan memberi galakan kepada bakat baharu dalam bidang pengarahan untuk terus berkarya.

“Kita boleh ambil contoh pengarah filem, Osman Ali yang melahirkan pelbagai filem pendek yang memenangi banyak anugerah.

“Justeru, apa salahnya saya memberi pengiktirafan kepada pemenang Anugerah Filem Pendek Fitawave 2019 dengan memberi satu geran? Mungkin kita akan pilih lima pemenang teratas untuk dinilai sebagai penerima geran,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Anugerah Filem Pendek Fitawave 2019 di Bangunan Canseleri, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, baru-baru ini.

Yang hadir sama ialah Naib Canselor UiTM, Profesor Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim; Naib Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Datuk Mohamad Ali Hassan serta Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Profesor Datuk Dr. A. Razak Mohaideen.

Sementara itu A. Razak memberitahu, pihaknya menyasarkan sebanyak 200 penyertaan dalam tiga kategori iaitu Sekolah Menengah, Kolej serta Universiti Awam dan Swasta bagi anugerah berkenaan.

Orang ramai yang inginkan maklumat lanjut mengenai anugerah tersebut boleh layari http://fitawaveawards.com. - UTUSAN ONLINE