DEMONSTRASI penjagaan orkid yang akan diadakan sempena Ekspo Pertanian dan Konvokesyen UPM kali ke-42 pada Ahad ini.

Pengarah Taman Pertanian UPM, Profesor Madya Dr. Yahya Awang berkata, pelbagai acara dan pameran menarik disediakan pada program bertemakan Biodiversiti Asas Pertanian Mampan yang akan berlangsung di Dusun Humphrey dan Kompleks Akademik A dan Kompleks Mahasiswa UPM itu.

Beliau berkata, berbeza dengan penganjuran sebelum ini, acara tahun ini dipindah ke lokasi baharu demi keselesaan pengunjung terutama ahli keluarga yang datang menghadiri pesta konvokesyen.

“Antara tarikan utama adalah hasil penyelidikan, penjualan anak pokok buah-buahan, sayur-sayuran, produk susu dan daging keluaran UPM serta demonstrasi teknik pertanian,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Yahya berkata, antara tarikan lain termasuk pameran khas mengenai burung dan ayam eksotik oleh Malaysia Ornamental Poultry Association (MOPA) dan pameran pelbagai jenis ikan oleh Jabatan Pertanian.

“Kanak-kanak pasti teruja melihat gelagat haiwan yang dipamerkan antaranya anak ayam yang baru menetas, rusa jinak, anak kambing dan arnab.

“Selain peluang memberi makan kepada haiwan tersebut, pengunjung yang ingin mencuba pengalaman menunggang kuda dengan sedikit bayaran,’’ katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin menimba pengetahuan mengenai orkid boleh menyertai demonstrasi penjagaan bunga itu yang diadakan pada pukul 10 pagi, 28 Oktober di Kompleks Akademik A, UPM.