Berbeza hari ini Sepang semakin dikenali apabila mampu menarik ramai pelabur tempatan dan asing bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan itu terutama dalam sektor pelancongan, hartanah dan sebagainya.

Sepang kini menjadi tumpuan pembangunan utama termasuk pembinaan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang bernilai RM800 juta, Kompleks Tabung Haji dan Mitsui Outlet Park selain menjadi hab pendidikan dengan adanya pelbagai institusi pendidikan tinggi (IPT).

Lambakan pembangunan baharu itu bukan sahaja merancakkan ekonomi di Sepang, tetapi turut membuka lebih 60,000 peluang pekerjaan termasuk kepada penduduk setempat melalui DFTZ selain meningkatkan nilai eksport produk perusahaan kecil dan sederhana.

Menurut Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Shahrum Mohd. Sharif, Sepang berada di landasan terbaik untuk te­rus maju selepas mendapat perhatian kerajaan selain pemaju-pemaju hartanah turut melihat kawasan itu sebagai lokasi strategik perumahan baharu

“Kerajaan sentiasa peka de­ngan keadaan semasa di Sepang, misalnya apabila ada pelbagai pembangunan baharu di Sepang pastinya kadar penggunaan infrastruktur seperti jalan raya menjadi padat dan untuk itu kerajaan meluluskan pembinaan jejambat di Dengkil.

“Jejambat menghubungkan Putrajaya dan Kota Wa­risan yang bernilai RM74 juta itu memberi banyak kebaikan penduduk Sepang terutama­nya dalam mengurangkan ke­sesakan yang berlaku setiap hari ketika pada waktu puncak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Menurut Shahrum, Sepang bukan sahaja dilihat sebagai kawasan pembangunan baharu kerana kawasan itu juga memiliki beberapa lokasi pelanco­ngan yang boleh diketengahkan kepada pengunjung tempatan dan juga luar negara jika diko­mersialkan.

“Antara lokasi pelancongan yang boleh diketengahkan di Sepang ialah kawasan pantai di Bagan Lalang dan juga Home­stay Banghuris yang menawarkan keaslian persekitaran dan kehidupan seharian penduduk sehingga menjadi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said percaya sekiranya Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Parlimen Sepang dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Dengkil, Sungai Pelek dan Tanjong Sepat kawasan itu akan terus maju.

“Berdasarkan data dan statistik yang kita peroleh, BN Sepang telah bersedia untuk merampas kembali Parlimen Sepang dan dua kerusi DUN iaitu Tanjong Sepat serta Sungai Pelek di samping mempertahankan DUN Dengkil dalam PRU-14,” kata­nya.