Itu luahan Kuan Chee Heng, 55, atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Beliau yang berasal dari Batu Pahat, Johor merupakan aktivis sosial yang banyak terlibat dalam program membantu golongan susah dan kurang berpendapatan di negara ini.

Dibesarkan oleh keluarga penoreh getah, Chee Heng me­ngakui pernah melalui zaman ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

“Bahkan semasa ayah me­ninggal dunia, kami tiada wang untuk menguruskan pengebumiannya. Makanan, baju dan kasut sekolah pun harapkan orang sedekah.

“Ibu saya sendiri pernah dibuli kerana berhutang membeli beras. Demi untuk membantu keluarga, saya terpaksa bangun tidur seawal pukul 2 pagi untuk membantu keluarga menoreh getah,” katanya.

Menurut Chee Heng, sebelum terlibat dalam kerja-kerja amal, beliau pernah bertugas sebagai anggota polis.

“Saya pernah bertugas dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama enam tahun.

“Selepas itu saya menjual bunga di Bukit Bintang dan sekarang saya terlibat dengan perniagaan membuat aplikasi untuk multimedia,” katanya.

Beliau berkata, langkah da­lam kerja amal bermula de­ngan pengagihan makanan kepada golongan asnaf di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) selepas mempunyai sumber kewangan yang stabil.

“Saya sering memberi ubi kentang kepada mereka dan lama-kelamaan kanak-kanak di perumahan itu gelar saya ‘Uncle Kentang’ atau ‘Uncle 10 sen’ kerana mereka tidak tahu nama.

“Gelaran ‘Uncle 10 sen’ itu ke­rana saya menganjurkan pasar 10 sen di PPR Pelangi, Damansara sejak empat tahun lepas. Di situ saya menjual pelbagai pakaian terpakai yang disumbangkan oleh orang ramai dengan harga 10 sen sahaja,” ujar beliau.

Katanya, selepas kejayaan pasar 10 sen, Chee Heng mengambil inisiatif melaksanakan perkhidmatan teksi 10 sen dan ambulans 10 sen yang menyediakan kemudahan untuk orang ramai pergi ke hospital.

“Saya mengenakan tambang sebanyak 10 sen sahaja untuk mereka yang tiada wang pergi ke hospital. Kemudian, saya lihat ada yang terlantar sakit di rumah dan saya membeli sebuah ambulans dan melaksanakan bantuan menggunakan kaedah yang sama iaitu dengan bayaran 10 sen.

“Saya selalu bertanya kepada diri sendiri, mengapa saya tidak sakit dan selalu ditemukan de­ngan orang sakit?

“Saya anggap ‘pertemuan’ itu telah diatur oleh tuhan. Mesti ada sebab kenapa tuhan temukan saya dengan orang-orang seperti itu,” katanya.

Terbaharu, beliau memper­kenalkan perkhidmatan van jena­zah percuma untuk kegunaan penduduk di sekitar Puchong.

Tambah beliau, harapan jangka masa panjangnya adalah untuk menubuhkan sebuah yayasan kebajikan untuk meneruskan kerja-kerja amal sehingga akhir hayatnya.

“Saya alu-alukan sesiapa sahaja yang mahu menyertai saya melaksanakan kebajikan tanpa mengira kaum dan agama. Kita perlu bergerak bersama dan bersangka baik kerana kita adalah sebuah keluarga,” katanya.