Presidennya, Zailani Isausuludin berkata, pemandu pengangkutan awam itu merasa tertindas kerana pemberian permit sedemikian seolah mengambil keuntungan dari penderitaan mereka.

“Tolong bebaskan kami warga teksi daripada perhambaan. Kalau alasan kerajaan (untuk) transformasi, landskap di dunia tidak sama kerana pengguna perkhidmatan awam berberbeza di Amerika, Mexico, London dan Kuala Lumpur.

“Kami tidak mahu permit diberikan kepada syarikat kerana syarikat akan menghambakan rakyat Malaysia sepanjang ha­yat,” katanya ketika ditemui pada Kongres Himpunan Warga Teksi Malaysia di sini kelmarin.

Seramai 500 warga teksi dari seluruh negara mengambil bahagian dalam kongres yang julung kali diadakan bagi mencari kesepakatan dalam beberapa isu, sekali gus memberi jaminan dalam membela nasib mereka.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut me­­nolak pemberian per­mit kepada syarikat Uber dan GrabCar kerana jika keadaan itu berlaku, pemandu teksi kekal akan menjadi hamba sepanjang hayat.

Tambahnya, Uber dan GrabCar ha­nya penyediaan e-hailing sahaja bukan memiliki kenderaan dan menghambakan rakyat Malaysia sebagaimana yang dilakukan syarikat-syarikat sekarang.

Dalam perkembangan sama, beliau meminta kerajaan supaya menyokong dan memberi kebenaran dalam usaha mereka me­nubuhkan kesatuan bagi membantu membela nasib pemandu teksi.

“Mana-mana pekerja di Malaysia mempunyai kesatuan tetapi kita (warga teksi) belum ada ke­satuan. Kesatuan amat diperlukan untuk menjadi wakil di Parlimen supaya ia dapat memudahkan kerajaan berurusan de­ngan warga teksi.

“Sudah bertahun-tahun kami membuat permohonan untuk menubuhkan kesatuan tetapi (masih) tidak mendapat kebenaran,” jelasnya.

Tambahnya, kongres itu juga antara lain bertujuan menuntut ke penubuhan sebuah yayasan dan dana koperasi untuk membantu membiayai pembelian kenderaan teksi serta penge­cualian cukai duti eksais dan cukai bara­ngan dan perkhidmatan (GST).

“Kalau tiada cukai maka kita boleh keluar kereta baharu setiap tiga tahun dan rakyat Malaysia akan mendapat perkhidmatan yang baik kerana kenderaan tersebut berada dalam kondisi baharu, wangi dan sebagainya,” katanya lagi.