Ahli Dewan Undangan (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd. Aziz berkata, pelajar memerlukan suasana yang kondusif dan selesa ketika sesi pengajaran dan pembelajaran namun dua buah sekolah di kawasan berhampiran kini mengalami kesesakan.

Beliau berkata, buat masa ini sebahagian besar pelajar bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra dan SMK Engku Husain yang turut menjadi tumpuan pelajar di kawasan lain.

“Tidak dinafikan keadaan sekolah yang sedia ada masih lagi terkawal, namun lebih baik sekiranya sekolah baharu dibina sekali gus dapat menampung pelajar baharu apatah sekarang perumahan giat dibangunkan di kawasan tersebut.

“Contohnya SMK Engku Husain, cuba bayangkan apa yang berlaku apabila satu kelas terpaksa memuatkan 55 hingga 60 pelajar,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Transformasi Sosial di sini baru-baru ini.

Tambah Johan, permohonan telah dibuat tetapi masih lagi menunggu kelulusan daripada kerajaan dan penduduk berharap keperluan sebuah sekolah baharu itu menjadi kenya­taan.

Katanya lagi, sekolah baharu itu akan dibina di tanah berkeluasan lebih tiga hektar dan dianggarkan bernilai lebih RM28 juta dengan peruntukan pembinaannya diharap dapat dimasukkan dalam Bajet 2018.

“Bangunan yang mempunyai 28 bilik darjah itu mampu menampung kira-kira 1,500 pelajar,” ujarnya yang turut menyampaikan bantuan persekolahan kepada 100 pelajar bagi kawasan berhampiran.