Seorang penduduk Seksyen 7, Aimanudin Kamaruddin, 40, berkata, mereka kini tidak perlu lagi mendapatkan rawatan khususnya penyakit kronik di hospital kerajaan di Sungai Buloh dan Klang yang terletak jauh dari sini.

“Lebih-lebih lagi negeri ini mencatatkan kes denggi tertinggi dan sudah tentu memerlukan sebuah hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan.

“Selama ini apabila ada kes denggi, penduduk Shah Alam terpaksa ke Hospital Sungai Buloh atau Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang” katanya di sini hari ini.

HSA yang tertangguh pembinaannya sejak lima tahun lalu akan mula dibuka kepada orang ramai pada pertengahan September ini sebelum ber­operasi sepenuhnya, Januari depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam ketika mengumumkannya baru-baru ini berkata, hospital yang mampu menempatkan 300 katil itu kini siap 99 peratus dan akan menumpukan kepada perkhidmatan untuk pesakit luar meliputi pelbagai jenis bidang kepakaran.

Sementara itu, seorang peguam, Mohd. Fadhly Hashim, 40, turut melahirkan rasa syukur dan berte­rima kasih kepada kerajaan kerana membina hospital untuk kemudahan masyarakat luar dan setempat.

“Alhamdulillah, penantian penduduk Shah Alam selama ini akhirnya­ menjadi kenyataan. Usaha ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

“Selama ini banyak kes perlu dirujuk ke HTAR yang sentiasa sesak dengan pesakit,” katanya.

Turut berkongsi perasaan Yusri Mohd. Noh, 28.

Katanya, pembinaan HSA merupakan sesuatu yang amat dinanti-nantikan kerana selama ini mereka terpaksa bergantung kepada klinik dan hospital swasta yang mengenakan caj terlalu tinggi.

“Ini memberi tekanan kepada penduduk terutama yang berpendapatan rendah,” katanya.

“HSA ibarat penyelamat kepada penduduk Shah Alam bukan sahaja dari aspek kesihatan malahan aspek ekonomi pada masa depan.

“Dalam keadaan ekonomi masa kini, HSA amat diperlukan oleh golongan pendapatan rendah se­perti saya dan keluarga,” ujarnya.