Bekas Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Zamil Ibrahim berkata, isu membabitkan tatacara penyelesaian pertikaian kontrak antara Universiti Selangor (Unisel) dan Jana Niaga Sdn. Bhd. (JNSB) yang didakwa membabitkan nilai puluhan juta ringgit dianggap 'pelik' kerana syarikat konsesi itu difahamkan telah ditamatkan perkhidmatan oleh kerajaan negeri semasa pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lagi.

Jelasnya, penamatan kontrak JNSB dikatakan berpunca daripada kegagalan syarikat tersebut mematuhi syarat serta perjanjian konsesi sehingga perkara berkenaan berlarutan melibatkan proses mahkamah sebelum ini.

“Namun, mengapa pula Mohamed Azmin melalui Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dikatakan memberikan kontrak baharu kepada syarikat itu termasuk membuat bayaran pampasan yang didakwa melibatkan jutaan ringgit?

“Tindakan Mohamed Azmin ini menimbulkan banyak keraguan. Seolah-olah dia menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar dan Pengerusi MBI untuk membela syarikat berkenaan.

“Apakah Mohamed Azmin mempunyai konflik kepentingan di sebalik penyelesaian pertikaian itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambah Zamil, walaupun Mohamed Azmin melalui laporan media semalam menyatakan tatacara penyelesaian pertikaian kontrak Unisel-JNSB dibuat secara telus dan terbuka, tetapi Timbalan Presiden PKR itu perlu mendedahkan perincian serta rasionalisasi proses tersebut.

“Kita juga mahu SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) memberikan tumpuan penuh dalam menyiasat dakwaan itu kerana bimbang wujudnya elemen salahguna kuasa dan rasuah di sebalik tatacara penyelesaian kontrak,” jelasnya.