Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) berkata, beliau kesal dengan sikap Mohamed Azmin yang menyalahkan Kerajaan Persekutuan kononnya tidak mengemukakan harga penilaian pengambilalihan tersebut.

Sedangkan jelas Sulaiman, dari segi tatakelola pengurusan ekuiti, Kerajaan Persekutuan sebenarnya tidak perlu mengemukakan penilaian harga pengambilalihan Splash kepada kerajaan negeri.

“Yang bertanggungjawab mengambil alih Splash ialah kerajaan negeri dan mereka sepatutnya mengemukakan harga tawaran akhir kepada Kerajaan Pusat supaya tidak memberi kesan kepada tarif air.

“Malah pengambilalihan ekuiti Splash itu akan dibiayai oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB),” katanya kepada pemberita di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini semalam.

Terdahulu, semasa perbahasan DUN Selangor hari ini, Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa) mengumumkan penangguhan pengambilalihan Spalsh sehingga 4 Julai 2018 kononnya atas permintaan Kerajaan Persekutuan.

Menurut Menteri Besar, pe­nangguhan dibuat selepas kerajaan negeri gagal mendapatkan harga penilaian pengambilalihan Splash daripada Kerajaan Pusat seperti yang dicadangkan oleh jurunilai bebas, Deloitte.

Bagaimanapun, ia bercanggah dengan kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Zaini Ujang pada 21 Ogos lalu yang menegaskan usaha pengstrukturan bekalan air Selangor akan tertangguh selagi kerajaan negeri tidak mengemukakan sebut harga untuk proses perolehan Splash.