Menurut Aziph Mustapha, abangnya itu sebelum itu sedang bersiap untuk keluar kerana ingin makan tengah hari bersama anaknya.

“Azmil pagi tadi berada dalam keadaan yang sihat dan bersemangat untuk keluar makan. Jadi sewaktu bersiap difahamkan dia baring di katilnya.

“Bagaimanapun ketika anaknya mengejutkan dia untuk bangun tidur bagaimanapun dia sudah meninggal dunia,”kata Aziph yang juga adik bongsu kepada pelakon ini.

Sementara itu Aziph memberitahu abangnya itu pernah melakukan pembedahan pintasan jantung dan tahun lepas juga pelakon itu turut menerima rawatan akibat komplikasi jantung.

“Azmil memang mempunyai penyakit jantung dan pernah menerima rawatan sebelum ini. Bagaimanapun keadaan dia semakin baik malah sehingga ke pagi tadi.

“Malah dia turut berceramah seperti biasa dan sudah mengesahkan untuk berceramah pada minggu hadapan,”katanya.

Sementara Allahyarham Azmil kini berada di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam untuk dikafankan dan disembahyangkan.

Difahamkan jenazahnya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam selepas Asar. -UTUSAN ONLINE