Bukan sahaja kawasan Parlimen, malah dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seri Muda dan Seri Andalas juga merupakan kubu kuat bagi pakatan berkenaan apabila kedua-dua calonnya, Shuhaimi Shafie serta Dr. Xavier Jayakumar menang selesa sebelum ini.

Namun, perlahan-lahan, usaha tanpa jemu BN Kota Raja diterajui Ketua UMNO Bahagiannya, Datuk Ir. Kamaruzzaman Johari memberikan khidmat bakti tanpa jemu kepada rakyat sejak dua penggal lalu mula menzahirkan perubahan dalam kalangan pengundi di kawasan tersebut.

Kini dengan per­sempadanan baharu, Kota Raja yang memiliki tiga kerusi DUN, iaitu Sungai Kandis, Sentosa dan Kota Kemuning dilihat memberikan harapan realistik kepada BN untuk mencipta kejutan di Sungai Kandis, sekali gus merampas salah satu kerusi DUN.

Bagaimanapun, persempadanan baharu bukanlah menjadi faktor utama untuk BN mencipta kejutan, sebaliknya perubahan sikap pengundi itu berpunca daripada cakna pemimpin UMNO serta BN terhadap masalah rakyat meskipun bukan parti yang mentadbir Selangor.

Jelas Kamaruzzaman, beliau sendiri yang turun padang bersama rakyat di Sungai Kandis dapat me­rasai gelombang perubahan membabitkan kira-kira 50,847 pengundi di kawasan itu dan ia semakin ketara selepas Kerajaan Negeri PKR dilanda pelbagai skandal.

“Saya tidak menolak sebahagian daripada faktor keyakinan kita untuk mencipta kejutan di Su­ngai Kandis ini ada kaitan dengan pertembungan tiga penjuru atau berhubung kait persempadanan semula Parlimen Kota Raja sehingga menyaksikan wujudnya tiga DUN.

“Namun, persoalan utama yang akan menentukan menang atau kalah dalam pilihan raya ialah perkhidmatan kita kepada rakyat dan kami dengan semua rakan komponen BN berterusan memberi khidmat terbaik sehingga dapat merasai gelombang kejutan itu,” katanya.

Tambah Kamaruzzaman, kemenangan BN di Sungai Kandis itu penting untuk membantu memudahkan usaha merampas semula Selangor daripada Pakatan Harapan diketuai DAP, sekali gus memperbetulkan semula pentadbiran kerajaan negeri yang kucar-kacir ketika ini.