Yang Dipertua Badan Amal Dan Kasih (KASIH) Selangor, Puan Sri Dr. Aishah Salleh berkata, jenayah membabitkan pelakunya adalah golongan kanak-kanak kebelakangan ini memungkinkan akta itu dilihat mampu membendung masalah berkenaan sekaligus menjamin masa depan kanak-kanak.

“Kebanyakkan kes membabitkan golongan itu adalah berpunca dari kelonggaran didikan dan pantauan ibu bapa di rumah.Kita perlu lihat undang-undang negara luar seperti Sweden yang mengenakan hukuman penjara kepada rakyat (indvidu) yang didapati bersalah memukul anak.

“Negara luar, sekiranya rakyat mereka meninggalkan anak seorang diri di rumah, itu sudah boleh didakwa. Sudah tiba masa untuk kita melakukan perkara sama,” katanya ketika sidang akhbar sempena pemakluman Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak di Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, ibu bapa yang berkerja tidak boleh menjadikan alasan kerjaya sebagai halangan mengawal dan memantau pergerakan anak-anak.

Aishah berkata, ibu bapa tetap perlu memerhati tingkah laku anak, ambil tahu kemana mereka pergi dan dengan siapa mereka berkawan selepas sesi persekolahan.

“Jangan biarkan anak salah memilih kawan. Ini akan menjadi punca mereka terbabit dengan penagih dadah,” katanya.

Beliau menambah , resolusi yang diperolehi dalam Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak anjuran KASIH Selangor pada 28 September depan akan diserahkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Jelasnya lagi, seminar berkenaan juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai berkenaan jenayah seksual serta cara melindungi kanak-kanak dari jenayah berkenaan. - UTUSAN ONLINE