Penghuni mengambil jalan mudah itu selepas aduan mereka kepada kerajaan negeri supaya segera memperbaiki dan menyelenggara lif di pangsapuri setinggi 11 tingkat tersebut langsung tidak dipedulikan Kerajaan PKR Selangor.

Wakil penduduk, Adam Prakash berkata, disebabkan masalah itu dan kelemahan kerajaan negeri untuk segera bertindak menyebabkan penghuni yang menetap di tingkat lebih tinggi menjadikan kawasan sekitar lif dan tangga sebagai tempat membuang sampah.

“Masalah ini berlarutan hampir lima bulan dan aduan telah banyak kali dibuat tiada tindakan yang diambil. Kini penduduk terpaksa hidup dengan sampah dan menghidu bau busuk setiap hari,” katanya ketika ditemui di pangsapuri itu di sini.

Dalam pada itu, seorang lagi penghuni, Mad Jais Jantan, 51, pula berkata, selain kawasan lif dan tangga, sebilangan penduduk turut mengambil jalan mudah dengan mencampakkan sampah ke kawasan pembetu­ngan yang terletak bersebelahan pangsapuri tersebut.

“Ini menyebabkan kawasan pembetungan itu kini dipenuhi sampah sekali gus mengundang bau busuk. Saya sendiri telah membuat aduan kepada pihak pengurusan, sebaliknya mereka meminta saya pula yang mencari pelaku tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, masalah sampah itu tidak akan timbul jika pihak berwajib iaitu kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan memperbaiki segera lif untuk kegunaan penduduk.

Hal yang sama turut disuarakan seorang lagi penghuni, Lim Choo Hoh, 75, apabila dia amat berharap agar Kerajaan PKR Selangor tampil menunaikan tanggungjawab dengan membantu mereka mengatasi masalah sampah dan kerosakan lif di pangsapuri itu.

"Saya sudah tidak tahan, hari-hari hidu bau busuk dan terpaksa naik dan turun ke rumah saya di tingkat lima menggunakan tangga.

“Saya sudah 10 tahun saya tinggal di sini tetapi masalah sama sering berulang, sampai bila saya perlu hadapi ini semua...saya sudah tua mana larat,” jelasnya.