Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon 07 MDKS Parlimen Kuala Selangor, Mohd. Razib Mohd. Talib berkata, pihak berkuasa tempatan itu perlu segera bertindak bagi memastikan pelbagai masalah berkaitan pencemaran berlarutan

Beliau berkata, bau busuk sampah yang dihasilkan daripada tempat pembuangan itu begitu ketara terutama ketika hujan sekali gus tidak memberi keselesaan kepada penduduk setempat.

“Konktraktor sampah ada me­lakukan kerja-kerja pengutipan setiap hari, namun dua tong sampah disediakan itu tidak dapat menampung jumlah sampah di kawasan itu.

“Sampah melimpah setiap hari. Lebih mengecewakan ada segelintir penduduk tidak bertanggungjawab membuang sampah pukal termasuk perabot terpakai, tilam di lokasi itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Mohd. Razib, aduan berhubung perkara itu telah dikemukakan kepada MDKS, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati dua tong berkenaan kosong dan difahamkan kerja-kerja kutipan telah dilaksanakan kontraktor sampah.

Hanya longgokan sampah pukal didapati berada berhampiran tong berkenaan.

Utusan Malaysia difahamkan, peniaga di Medan Selera Fasa 2. yang terletak di seberang jalan antara yang paling terkesan de­ngan situasi itu

Bau busuk yang datang daripada tong sampah serta keha­diran lalat dan anjing liar turut mengganggu pelanggan sehingga perniagaan mereka merosot.