Ini terutama isu berkaitan pembuangan sampah di sebuah lokasi di Jalan Melati di sini akibat sikap degil dan tidak bertanggunjawab segelintir pihak.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, orang ramai yang melalui kawasan tersebut terpaksa menghidu bau busuk yang datang dari timbunan sampah berkenaan selain pemandangan menyakitkan mata.

Berdasarkan pemerhatian pelbagai jenis sampah daripada sisa pepejal hinggalah sampah pukal seperti perabot dan sisa binaan memenuhi sepanjang jalan kira-kira 100 meter itu.

Rata-rata penduduk mendakwa, perbuatan itu dipercayai dilakukan pihak tidak bertanggungjawab memandangkan ke­adaan jalan di kawasan agak sunyi dan jarang dilalui orang terutama pada waktu malam.

Lebih mengecewakan, papan tanda larangan membuang sam­pah yang dipasang Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) tidak dihiraukan dan hanya dianggap sekadar perhiasan.

Selain bau busuk, lokasi tersebut turut menjadi tumpuan anjing liar dan lalat untuk mencari makanan.

Sehubungan itu, penduduk meminta supaya MPSepang dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) membuat pemantauan dan tindakan segera bagi mengekang masalah tersebut.

Turut dibangkitkan penduduk kampung berkenaan adalah isu penghadang jalan di Jalan Ayer Itam.

Penduduk mendakwa, kemalangan kerap berlaku di kawasan itu ekoran kekeliruan pengguna jalan raya terhadap kemudahan yang dibina bukan di lokasi sesuai.

Penghadang jalan yang dibina di satu sudut selekoh itu boleh mengundang bahaya kepada pengguna sekiranya tidak berhati-hati terutama pada waktu malam.