Penduduk mendakwa, keja­dian tebing runtuh akibat hujan lebat pada 16 Disember lalu adalah paling buruk berlaku sehingga turut menjejaskan sebatang jalan utama yang menjadi laluan keluar masuk penduduk.

Lebih menambah derita apabila mereka turut berdepan masalah gangguan bekalan air ekoran kejadian paip pecah di kawasan berkenaan.

Tinjauan Skuad Terjah di kawasan itu mendapati, projek tebatan banjir termasuk membina semula tebing runtuh giat dijalankan ketika ini oleh JPS, na­mun tidak dapat dipastikan tarikh projek tersebut akan siap.

Kebimbangan penduduk juga berasas kerana runtuhan tebing yang berlaku berdekatan Le­buhraya Kajang-Seremban (Lekas) terlalu besar dan ia kini dipisahkan kira-kira 10 meter dari kawasan rumah.

Meskipun lebih 10 hari selepas kejadian itu berlaku, penduduk masih dihantui ketakutan dan trauma setiap kali hujan lebat menyebabkan arus air sungai mengalir deras.

Difahamkan, bencana malang itu berlaku pada setiap kali musim tengkujuh menyebabkan paras air naik mendadak, bahkan ia turut melibatkan lokasi lain di sepanjang sungai itu.

Sementara itu, Setiausaha Gagasan Prihatin Semenyih (GPS), Hamdan Abu berkata, projek berkenaan diharap dapat disiapkan lebih awal da­ri tarikh ditetapkan kerana pen­duduk sudah tidak tahan berdepan masalah banjir kilat.

“Kita harap JPS dapat bina satu struktur yang kukuh di bahagian tebing demi keselamatan penduduk berdekatan Sungai Semenyih,” katanya.